Header Ads

Kes Demam Denggi Di Pahang Meningkat 70.8 Peratus



KUANTAN - Kes demam denggi di negeri ini bagi tempoh 1 hingga 26 Januari lalu meningkat sebanyak 70.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, ini berikutan 82 kes denggi dicatatkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 48 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

 Menurut beliau, daerah Kuantan mencatatkan kes demam denggi paling tinggi iaitu 51 kes diikuti Jerantut (tujuh), Temerloh (lima), Pekan (empat), Maran (lima), Raub (tiga), Rompin (dua), Bentong (dua) dan masing-masing satu kes di Bera, Lipis dan Cameron Highlands.

 "Pada masa ini sebanyak lima lokasi dikesan sebagai kawasan yang aktif berlaku demam denggi di Kuantan iaitu di Taman Mutiara, Semambu Baru, Taman Balok Baru, Taman Pasdec Makmur, Indera Mahkota dan Taman Balok Makmur. "Di antara punca berlaku wabak di kawasan itu adalah kerana terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam rumah dan sampah dibuang merata-rata di kawasan perumahan," katanya. Katanya lagi, untuk itu, jabatan telah ambil langkah pencegahan dan kawalan dengan melakukan semburan kabus ke atas 47,679 premis.

"Selain itu, sebanyak 17,834 premis telah dijalankan pemeriksaan dan 4,858 telah diletakkan pemusnah jentik-jentik. Daripada jumlah itu, sebanyak 268 premis telah ditemui terdapat tempat pembiakan aedes," katanya. Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 87 kompaun dengan nilai RM43,500 telah dikenakan kepada orang ramai di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957.

"Sebanyak 49 notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes," katanya. Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya bertanggungjawab pastikan kawasan persekitaran rumah masing-masing dan tempat awam bebas dari pembiakan nyamuk ini.

"Mereka diminta dapatkan rawatan segera ke klinik atau hospital  jika alami demam kuat secara tiba-tiba disertai sakit kepada dan badan," katanya baru-baru ini.
-Utusan

Dikuasakan oleh Blogger.