Header Ads

Seorang Remaja Maut Terperosok di Bawah Lori

Bagan Serai: Seorang remaja maut manakala adiknya cedera selepas motosikal ditunggangi terperosok di bawah lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 1, Jalan Gula, Semanggol, di sini.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi kelmarin, mangsa Muhammad Zulhaimi Saidin, 18, dikatakan terperosok di bawah kenderaan berat itu apabila gagal mengawal motosikal ditunggangnya selepas bergesel dengan motosikal lain dinaiki seorang pelajar.
Adik mangsa, Mohd Zulfitri, 12, turut cedera selepas tercampak dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian itu Muhammad Zulhaimi terseret bersama motosikalnya yang terbalik sebelum kenderaan itu merempuh lori di tepi jalan.

“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan, namun Muhammad Zulhaimi disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 malam hari sama.

“Ketika kejadian mangsa mahu menghantar adiknya ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori terbabit, Mohd Rosli Mohd Zaki, 45, berkata, dia yang berada di tempat duduk pemandu terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bawah lori.
“Saya segera turun dari kenderaan untuk memeriksa sebelum terkejut melihat motosikal dan penunggangnya tersepit di hadapan lori.

“Saya membantu mangsa yang tersepit sebelum menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.