Header Ads

Hak Orang Bukan Islam Dalam Negara Islam

Apakah hak orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam?

Jawapan: Dalam sejarah Islam bermula daripada pemerintahan Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyyah, orang-orang bukan Islam memperolehi hak yang sudah sedia terjamin oleh syariat kepada mereka. mereka tidak pernah mengecapi kebebasan yang sebenarnya kecuali setelah berada dibawah pwemerintaha Islam. Ahli perundangan Islam membahagikan rakyat yang bukan Islam kepada beberapa kategori. Antaranya:
  1. Kafir Dhimmi. Mereka ialah orang yang sanggup taat setia kepada negara Islam. Negara dikehendaki meraikan segala perjanjian yang dibuat dengan mereka.
  2. Tawanan perang. Mereka ini terdiri daripada orang yang menentang Islam sehinggalah mereka ditewaskan dan akhirnya ditawan. Secara automatik mereka diletakkan dibawah tanggungan negara Islam. Mereka dikehendaki membayar cukai mengikut kadar tertentu dan dengan itu hidup, harta benda, maruah dan rumah-rumah ibadat mereka dilindungi.
  3. Orang bukan Islam yang menetap di negara Islam dan menjadi rakyat negara berkenaan.
  4. Orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam buat sementara waktu seperti pelancong atau pengembara.
  5. Penduduk asing yang secara sukarela memilih untuk tinggal di dalam negara Islam
Hak-hak asasi orang-orang yang bukan Islam dalam negara Islam merangkumi:
  1. Mereka dilindungi oleh pemerintahan Islam dari serangan luar.
  2. Mereka dilindungi dari segala bentuk penganiyaan dan pencerobohan dari dalam negara.
Selain itu terdapat hak-hak yang lain iaitu:
  1. Berhak melaksanakan undang-undang peribadi mereka seperti undang-undang yang bersangkut paut dengan soal perkahwinan, penceraian, pembahagian harta, pusaka, penjualan arak, makan daging babi dan menjual beli barang seumpamanya. Bagaimanapun, jika mereka mahu tunduk kepada hukum-hukum syariat Islamiyyah maka pemerintahan hendaklah menerima kehendak meerka dan menjalankan hukum syariat secara adil ke atas mereka.
  2. Berhak membuat pilihan terhadap sesuatu pegangan agama tanpa sebarang paksaan dari pemerintahan Islam dan mereka boleh mengamalkan kepercayaan agama mereka dengan aman.
  3. Hak untuk hidup. Orang bukan Islam yang berada dalam negara Islam mempunyai hak untuk hidup dan darahnya terpelihara. Tidak seorang pun berhak membunuh dan mengalirkan darahnya atau merampas harta bendanya. Jika ada mana-mana orang Islam yang membunuh mereka, maka hukumnya hendaklah dibunuh balas.
  4. Kehormatan orang yang bukan Islam adalah terpelihara dalam negara Islam. Mayat dan tulang-temulang orang yang bukan Islam hendaklah dihormati seperti juga mayat orang Islam. Jenazah orang yang bukan Islam perlu dihormati.
  5. Musuh-musuh Islam yang ditawan dalam peperangan berhak mendapat layanan yang adil daripada pemerintah Islam. Mereka tidak boleh didera dan dibunuh sewenang-wenangnya, kecuali yang jelas berbahaya kepada negara Islam dan umatnya.
  6. Rumah orang yang bukan Islam tidak boleh dicerobihi dan harta bendanya tidak boleh dicuri dan dirampas sewenang-wenangnya.
  7. Orang yang bukan Islam berhak membuat permohonan kepada negara Islam bagi mendapat hak perlindungan politik sebagaimana orang Islam yang berada di negara bukan Islam berhak untuk membuat permohonan berkenaan kepada mana-mana negara Islam.
  8. Orang yang bukan Islam berhak mengadakan perhimpunan secara aman dan berhak menubuhkan persatuannya sendiri.
  9. Orang yang bukan Islam menpunyai hak untuk menyatakan pendapat dan pendiriannya masing-masing, malah mereka mempunyai hak dalam berpolitik bagi membela nasib kaun mereka sendiri.
  10. Orang bukan Islam berhak menjalankan perniagaan secara bebas dalam negara Islam asal sahaja bentuk perniagaan itu tidak mengandungi jualan yang boleh merosakkan negara seperti dadah dan sebagainya.
  11. Orang yang bukan Islam mempunyai hak dalam memegang jawatan dalam perkhidmatan awam yang berkaitan dengan perkara duniawi dan tidak menyentuh tentang perkara agama Islam.
  12. Orang yang bukan Islam yang terlampau miskin berhak mendapat bantuan kewangan dari pihak berkuasa negara Islam sebagaimana yang diputuskan oleh Saidina Umar r.a. di zaman pemerintahannya.
  13. Orang bukan Islam berhak mendapat rawatan kesihatan dan hak jaminan sosial dari kerajaan Islam.
  14. Orang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa melibatkan diri dalam angkatan tentera negara Islam, kerana dengan membayar cukai Jizyah, mereka berhak mendapat perlindungan dari kerajaan. Bagaimanapun, jika mereka secara sukarela memasuki perkhidmatan angkatan tentera Islam, ia sangat dialu-alukan. Kerana dengan cara-cara ini ia dapat berbakti kepada tanah air tempat ia menetap.
Orang-orang yang bukan Islam juga dikehenndaki melaksanakan hak yang wajib mereka laksanakan terhadap negara Islam iaitu:
  1. Mereka hendaklah melakukan perkara yang boleh menyumbangkan kepada kesejahteraan masyarakat dan negara yang dihuninya.
  2. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang membahayakan negara Islam dan perbuatan yang menimbulkan rasa tidak senang orang Islam. Contohnya mereka tidak boleh  membuka kedai arak dan kawasan ternakan babi di kawasan perumahan orang-orang Islam.
  3. Orang yang bukan Islam di larang menghina dan mencerca sebarang tokoh Islam sekalipun mereka tidak mepercayai dan menganuti Islam, malah mereka dituntut supaya menghormati pegangan orang Islam dan apa sahaja yang dimuliakan oleh orang Islam.
  4. Orang-orang bukan Islam tidak boleh memberontak menentang negara Islam atau mementingkan diri sendiri sahaja dengan menimbulkan perkara yang mencetuskan huru-hara dalam masyarakat. Mereka tidak boleh bersama dengan golongan yang suka menyebarkan fitnah dalam negara Islam.
(Rujuk buku Non Muslim Under Shari'ah (Islmic Law) oleh A. Rahman. D.)

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.