Header Ads

Alhamdulillah Kerajaan Arab Saudi Kembalikan Semula Kuota Jemaah Malaysia

Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi telah mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 2017 berbanding 22,230 sejak 2013, kata pihak Tabung Haji.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab saudi, Dr Mohammad Saleh Bentan ketika mesyuarat tahunan urusan haji di Jeddah baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom

"Pihak TH juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi hampir selesai melaksanakan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram sebagai usahanya memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam," kata TH dalam satu kenyataan media hari ini.

TH juga memaklumkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.

"Antara perkara yang dibincangkan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi membantu memendekkan tempoh penggiliran haji," kata kenyataan itu lagi.

TH juga memaklumkan kos menunaikan haji Musim Haji 1438H/2017M telah meningkat kepada RM19,550 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu.
Namun, biarpun kos meningkat setiap tahun, TH masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang Jemaah Haji Muasassah kali pertama sejak tahun 2009.

"Subsidi Haji yang ditanggung TH dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini," kata kenyataan tersebut.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.