Header Ads

“Ingatkan Logo Harimau, rupanya Logo Babi”

“Saya ingatkan gambar haiwan itu harimau tapi sebenarnya gambar babi,” kata Md Akhir Saad, 49, yang tertipu dengan pembelian baju-T yang dibeli secara dalam talian.
Md Akhir yang juga ahli perniagaan berkata, dia membeli baju berkenaan di vendor perniagaan dalam talian pada Febuari lalu sebelum tempahan itu sampai pada 3 Mac lalu.
“Saya membuat tempahan baju itu yang berharga RM49 selepas melihat iklan dalam laman sesawang vendor perniagaan dalam talian itu. Ketika baju itu sampai, saya tidak perasan sesuatu yang pelik pada baju berkenaan.
“Namun, pada kali kedua saya memakai baju itu, anak saya menegur gambar haiwan pada logo baju-T berkenaan seperti babi walaupun pada mulanya saya bertegas gambar haiwan itu adalah harimau,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dia yang menetap di Kulim, Kedah berkata, sebaik mengetahui perkara itu, dia menghubungi vendor berkenaan untuk menuntut penjelasan.
“Saya diberitahu pihak terbabit bahawa baju itu diimport dari China dan mereka tidak mengetahui perkara itu sehingga dimaklumkan.
“Mereka membayar ganti rugi dengan kupon pembelian yang sama harga dengan baju berkenaan,” katanya yang turut memuat naik status di laman sosial, Facebook berhubung perkara itu.
Status Md Akhir di Facebook menarik perhatian netizen apabila ramai antara mereka turut memaklumkan kes itu banyak berlaku terutama membabitkan penggunaan jaket kulit daripada babi.
Katanya, tujuan dia memuat naik status berkenaan di media sosial bagi memberi pendedahan kepada orang ramai agar berhati-hati dalam pemakaian dan pembelian barang secara dalam talian.
“Sebagai umat Islam, ada perkara yang sensitif perlu diambil kira seperti perkara ini kerana ia membabitkan perihal agama,” katanya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.