Header Ads

Pelik Ada Umat Islam Dakwa Dr Zakir Ancam Keselamatan Negara -Dr Maza


ALOR SETAR - Datuk Dr. Asri Zainul Abidin mempersoal pendirian beberapa aktivis yang tergamak memfailkan tuntutan mahkamah bagi memohon perintah penangkapan dan pengusiran terhadap pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik.

Mufti Perlis berkata, beliau tidak pelik sekiranya tanggapan buruk itu datangnya dari mereka yang bukan beragama Islam, namun menghairankan pendirian tersebut juga melibatkan mereka yang mengaku beragama Islam.

"Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap," tanya Dr. Asri.

Justeru itu, Mufti Perlis itu mencabar pihak berkenaan supaya mengemukakan bukti kukuh yang mendakwa Dr Zakir Naik mengancam keselamatan negara seperti yang didakwa.

“Apakah bukti dia (Zakir Naik) mengancam?

"Apakah hanya kerana ada Hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?" luah beliau di laman sosial rasmi Facebooknya, semalam.

Difahamkan sebanyak 19 pihak telah tampil memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah penangkapan dan pengusiran terhadap Dr. Zakir, atas alasan "mengancam keselamatan negara".

Antara yang memfailkan permohonan tersebut adalah peguam, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim, Muhammad Mujahidin Zulkiffli dan Asiah Abd Jalil.

"Saya seorang Muslim dan saya menolak Zakir Naik.

"Saya percaya saya akan mendapat sokongan padu dari rakyat Malaysia yang sederhana bahawa kita semua harus melindungi Zakir daripada menyebarkan sikap radikal dan ekstremis beliau," kata Muhammad Mujahidin kepada sebuah portal.

Manakala Asiah pula berkata, walaupun Islam adalah agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, apa-apa ucapan yang menghina dan menyebabkan kebencian agama lain tidak boleh diterima dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini. - Kedahnews.com

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.