Header Ads

Lelaki Maut Kenderaan Terjunam Sedalam 3 Meter Dalam Laut

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam laut Tanjung Lipat di Jalan Tanjung Lipat di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa, Kelvin Chong Chew berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi disyaki terperangkap di dalam kenderaan jenis Toyota Camry.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

"Sebaik tiba di sana kami mendapati kenderaan mangsa telah terjunam ke dalam laut sedalam tiga meter.

"Sehubungan itu, seramai sembilan anggota yang dikerahkan ke lokasi kejadian segera bertindak menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan terbabit," katanya sebentar tadi.

Bagaimanapun, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, pasukan bomba masih meneruskan tinjauan di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat.

Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.