Header Ads

Diikat, Dibaringkan, Dipijak Dalam Masjid


“BERUNTUNGLAH kamu dan masyarakat Islam luar yang lebih mudah menziarahi Masjid Al-Aqsa berbanding kami, khususnya Arab dan terutama dari Palestin sendiri.

"Malah, ada rakyat Palestin yang tidak berpeluang langsung melihat masjid ketiga suci dalam Islam itu akibat sekatan zionis," kata Imam Masjid Nabi Yunus, Issam Wawi.

Masjid Nabi Yunus terletak di Halhul iaitu kira-kira 26 Kilometer dari Baitulmaqdis.

Issam, 52, sangat gembira dan bersyukur ketika menerima kunjungan rombongan ziarah dan korban sempena Aidiladha dari Malaysia yang kami sertai anjuran Yayasan Al Amin kendalian ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd.

Antara sebab dia suka masyarakat Islam dunia menziarahi Masjid Al-Aqsa ialah ia sebagai simbol kemenangan Islam.

"Apabila hanya orang Palestin sahaja ke Masjid Al-Aqsa bermakna yahudi zionis menang.

“Namun sekiranya kamu dan masyarakat Islam sedunia turut sama imarahkan masjid itu bermakna Palestin dan Islam menang.

"Kamu kena ambil peluang ini (ziarah Masjid Al-Aqsa) sebab kami disekat.

“Saya dilarang memasuki Al-Aqsa sejak 1991 dan antara puncanya adalah kerana saya mempertahankan Masjid Nabi Yunus ini daripada dicabuli zionis yahudi," katanya.

Yayasan Al Amin membawa sumbangan untuk rakyat Palestin secara berterusan.

Sumbangan menerusi akaun Maybank 5622 7260 3690 (Yayasan Al Amin).

Maklumkan sumbangan menerusi e-mel kepada yayasanalamin76@gmail.com atau hubungi pejabat yayasan di talian 03-55232296.

Sepanjang tempoh 26 tahun larangan ke Baitulmaqdis, Issam sudah banyak kali dipenjara.

Malah, dia pernah dipijak di dalam Masjid Nabi Yunus sebab enggan membenarkan askar Israel masuk dalam rumah Allah SWT itu tanpa membuka kasut.

"Ketika itu saya ditangkap, diikat dan dibaringkan di dalam pintu masuk Masjid Yunus oleh tentera rejim.

"Mereka kemudian keluar masuk masjid dengan memijak seluruh anggota badan saya.

"Askar marah sebab saya enggan membenarkan mereka masuk masjid tanpa buka kasut yang saya anggap sengaja tujuan menghina dan mencabuli kesucian masjid ini," katanya.

Rejim Tel Aviv memang sengaja memberikan tekanan termasuk siksaan kepada rakyat Palestin disebabkan mereka mahu menguasai seluruh bumi anbia menempatkan makam nabi.

Nabi Yunus terkenal dengan kisah baginda ditelan ikan Nun sebelum terselamat dengan berkat doa masyhur.

Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzalimin bermaksud, "Tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari orang yang zalim." - surah Al Anbiya'. Ayat 87


Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.